PictureDeretan kereta ditenggelami air
Hari ini sudah hampir tiga minggu semenjak banjir besar melanda daerah Kemaman. Musibah yang telah melumpuhkan pusat bandar Chukai serta sebahagian besar kawasan yang berpenduduk padat ini banyak mencoretkan kisah suka duka mangsa banjir dan penduduk sekitar. Sebahagian besar mangsa banjir mengalami kerosakan kediaman yang teruk selain kemusnahan harta benda akibat ditenggelami air bah yang melepasi paras kepala di sesetengah kawasan seperti Seberang Tayor. Banjir yang disifatkan diluar jangkaan ini turut menyaksikan korban nyawa akibat lemas dan tidak kurang juga penduduk yang mengalami kecederaan.

Keadaan di pusat-pusat pemindahan pada hari-hari pertama amat menyedihkan. Kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda dan tiba sehelai sepinggang dalam keadaan hujan lebat dan kesejukan yang mencengkam. Dalam keadaan tiada bekalan elektrik dan air bersih mereka diuji pula dengan lapar dahaga apabila bekalan makanan turut terputus berikutan paras air yang naik mendadak menyebabkan tiada laluan untuk ke kawasan tersebut melainkan dengan bot.

Sebahagian besar rumah ahli IKRAM Kemaman turut ditenggelami air termasuklah Sek Men Islam Al-Amin Kemaman. Mereka terpaksa berpindah sementara ke tingkat atas SMIAAK dalam keadaan tiada bekalan elektrik dan air bersih, juga bekalan makanan yang terhad disebabkan kawasan sekitar ditenggelami air lebih satu meter, menyebabkan laluan masuk ke kawasan itu terputus

PictureMenyediakan makanan untuk mangsa banjir
Kami bernasib baik kerana kawasan Kerteh tidak dinaiki air, dalam keadaan tersentak dengan musibah yang menimpa sahabat-sahabat di Chukai dan kawasan sekitarnya, ahli-ahli IKRAM di sekitar Kerteh terus membuka bilik operasi untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir. Antara usaha awal yang dilakukan oleh Wanita IKRAM ialah menyediakan makanan siap dimasak untuk mangsa banjir di Kemaman. Setiap hari kami berusaha menyediakan sekitar 300-400 pek makanan sebanyak 2 kali sehari untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Sepanjang usaha tersebut kami diuji dengan terputusnya bekalan air bersih di hampir keseluruhan kawasan Kerteh, juga kekurangan bekalan bahan mentah untuk memasak. Namun berkat kerjasama dan keprihatinan jaringan wanita IKRAM di Kerteh, urusan kami dipermudahkan Allah swt.

Terlalu banyak pengalaman dan pengajaran yang berharga hikmah daripada bah yang melanda Kemaman. Sesungguhnya Allah swt mengkehendaki yang terbaik buat kami dengan ujian kecil ini. Kami berharap untuk terus berkongsi pengalaman-pengalaman berharga ini di masa terdekat, inshaAllah.

Bersambung..

 
Sebagai tanda cakna dan prihatin terhadap penderitaan dan perjuangan umat Islam di Syria dan Mesir, Wanita IKRAM Kemaman telah menganjurkan malam munajat di dua lokasi iaitu Sek Ren Islam Al-Amin Kerteh dan Sek Men Islam Al-Amin Chukai yang telah mengumpulkan seramai 60 orang akhowat.Program ini bermula dengan solat Isyak berjemaah diikuti slot penerangan dan perkongsian tentang konflik kemanusiaan yang berlaku di Mesir dan Syria. Malam seterusnya diisi dengan tadarus, tahajud dan solat hajat. Keprihatinan wanita terhadap isu ini amat penting kerana wanita dan anak2 turut menjadi korban utama dalam kezaliman musus-musuh Islam yang ternyata diluar batasan kemanusiaan. Semoga wanita terus bersolidariti bersama rakyat Mesir dan Syria sehingga kemenangan berpihak ke atas Al-Haq (kebenaran).
 
Picture
Wanita IKRAM diseru agar sentiasa bermuhasabah samada peranan sebagai penyokong serta tulang belakang kepada dakwah suami dan jamaah telah terlaksana atau sebaliknya. Menyingkap kisah isteri-isteri nabi Ismail sebagai contoh tauladan yang baik kepada para daieyah, Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Pn Saidah Mamat mengingatkan agar kaum wanita sentiasa berusaha menjadi pembantu dan pemangkin kepada amal dakwah sebagai intipati ucapannya semasa Mesyuarat Agung Wanita IKRAM Daerah Kemaman yang berlangsung di SMI Al-Amin Kemaman pada 14 Jun 2013 yang lalu. Mesyuarat Agung yang dihadiri seramai lebih kurang 30 orang ahli Wanita IKRAM Kemaman itu telah dirasmikan oleh Pn Hjh Yong Rafidah bt Salleh.

Wanita sebagai sayap kepada Pertubuhan IKRAM telah melaksanakan pelbagai aktviti merangkumi pelbagai aspek kemasyarakatan, tarbiyah dan dakwah sepanjang tahun lalu dan berharap para ahli terus komited memberi sumbangan dan menyertai setiap program yang bakal dilaksanakan. Antara aktviti yang dijalankan oleh Wanita IKRAM Kemaman sepanjang tahun lalu termasuklah


 
Musibah yang melanda umat Islam di Syria semakin meruncing saat ini, dengan peningkatan korban keganasan tentera Basyar Asad mencapai ratusan ribu. Umat Islam di Syria terus diburu dan dibunuh saban hari oleh puak Syiah yang mendapat sokongan daripada kuasa Barat. Media tempatan juga dilihat gagal menyampaikan berita yang sebenar tentang penderitaan umat Islam Syria sehinggakan majoriti rakyat Malaysia terkeliru dengan isu ini.

Sehubungan itu, Pertubuhan IKRAM Terengganu mengambil inisiatif untuk memperjelaskan fakta berkaitan musibah ini agar rakyat Malaysia dapat turut bangkit untuk membela nasib saudara seaqidah kita di Syrian. Semua dijemput hadir.
 
Picture
Alhamdulillah, pada 2 November yang lalu telah berlangsung Majlis Ihtifal Tadika An-Nur Kerteh sempena meraikan 72 orang pelajar 6 tahun yang berjaya menamatkan pengajian. Majlis yang berlangsung di Dewan Sek Men Rantau Petronas ini telah dihadiri oleh sekitar 150 orang ibubapa dan jemputan khas.

Majlis dimulakan dengan bacan doa oleh Adik Mohd Syimir b Saifulizam diikuti bacaan Al-Quran surah Luqman oleh Adik Nurul Jannati bt Muzahar dan bacaan terjemahannya oleh Adik Nur Irdina bt Zainal.

Pengerusi ALP Tadika An-Nur, Pn Hjh Noor Ashikeen Ab Hamid pada awal ucapannya memberikan penghargaan kepada warga kerja Tadika An-Nur atas usaha keras menjayakan majlis ini yang pastinya akan menjadi motivasi kepada anak-anak dan ibubapa bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan di peringkat yang lebih tinggi. Beliau turut menegaskan tentang peranan ibubapa dalam memberikan sentuhan awal kepada anak-anak untuk membentuk akhlak dan keperibadian yang mulia. Tambahnya lagi, pihak tadika dan sekolah juga mengharapkan sokongan yang berterusan daripada ibubapa untuk memastikan kelangsungan proses pendidikan anak-anak memberikan kesan yang positif seperti yang diharapkan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Pn Saidah bt Mamat. Beliau dalam ucapan perasmiannya turut menyeru ibubapa untuk bersama-sama memberikan tumpuan terhadap pendidikan anak-anak sebagai langkah proaktif untuk mencegah salah laku sosial yang semakin meruncing di kalangan remaja dewasa ini. Ujarnya lagi, Pertubuhan IKRAM Malaysia khususnya di Terengganu sentiasa komited dalam usaha memberikan pendidikan Islam yang komprehensif kepada masyarakat segenap lapisan umur dan berharap agar ibubapa dapat terus memberikan sokongan dalam masa yang sama, dapat melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti IKRAM



 
Picture
Alhamdulillah Wanita IKRAM Terengganu dengan kerjasama Petronita dan Biro Muslimah Surau Rantau Petronas telah berjaya menganjurkan sebuah Seminar SuperMom, SuperDad pada Sabtu 20 Oktober 2012 bersamaan 4 Zulhijjah 1433H di Dewan Seri Delima, Bangunan Petronas Wilayah Pantai Timur dekat Kerteh, Kemaman.  Ini merupakan sebahagian daripada siri program keluarga sakinah yang digerakkan  oleh Wanita IKRAM Terengganu.

Program yang disertai hampir 150 orang peserta ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Tuan Hj Wan Hasnan bin Abdullah. Di dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada penganjuran program bersama ini dan ianya wajar dikembangkan di dalam kegiatan-kegiatan yang lain juga. Beliau juga percaya IKRAM dan Petronita mampu menjayakan program-program yang bermanfaat khususnya kepada warga Petronas dan masyarakat amnya.


 
InshaAllah dengan kerjasama PETRONITA dan Surau Rantau Petronas, Wanita IKRAM Terengganu akan menganjurkan satu program umum bercorak keibubapaan dan kekeluargaan. Jom sertai kami!

Pendaftaran melalui email boleh dibuat dengan menghantar butir-butir : Nama, Alamat Rumah, No h/p dan Alamat Email ke [email protected] . Perkhidmatan nursery untuk anak-anak turut disediakan.
 
 
Picture
Bersama seorang warga emas yang buta penglihatan
Lanjutan daripada usaha Pertubuhan IKRAM Kemaman menyantuni golongan ibu tunggal dan warga emas terbiar menerusi Projek Semarak Ramadhan (PSR) 1433H, Wanita IKRAM Kemaman dengan kerjasama Kelab Ibu Tunggal Kemasik telah menziarahi rumah-rumah golongan terlantar ini di Kampung Telaga Papan dan Kampung Gelugor pada hari Ahad, 29 Julai 2012.



Antara yang sempat diziarahi adalah golongan ibu tunggal yang tidak mampu lagi berjalan, tetapi masih gigih mencari sumber ekonomi dengan membuat produk-produk kraf tangan daripada surat khabar. Warga emas ini yang tinggal bersama 7 orang anak lelakinya hanya mampu berjalan secara mengesot dan tidak mampu lagi membuat kerja-kerja rumah seperti memasak dan sebagainya. Terdapat juga kes warga emas yang terlantar akibat serangan angin ahmar dan parkinson, buta penglihatan dan ibu tunggal yang hilang keupayaan akibat kemalangan. Mereka kebanyakannya tinggal di perumahan PPRT Kampung Telaga Papan dan Kampung Gelugor.


Picture
Ibu tunggal ini membuat kraf tangan daripada surat khabar sebagai sumber ekonomi
Picture
Ibu tunggal yang terlantar akibat kemalangan
Picture
Warga emas yang terlantar akibat strok
Picture
Warga emas yang buta penglihatan
Wanita IKRAM Kemaman yang diwakili oleh Pn Noriah Yusof dan Pn Sridayu Samsuri disertai Pengerusi Kelab Ibu Tunggal, Pn Rokiah serta Pn Hasita telah menyampaikan sumbangan PSR kepada mereka dalam bentuk pek makanan. 

Usaha ziarah ini amat perlu diteruskan oleh PSR untuk menghayati sendiri keperitan yang terpaksa ditanggung oleh sebahagian saudara muslim kita agar bantuan yang sewajarnya dapat dihulurkan kepada mereka secara berterusan. Melihatkan tempat kediaman mereka yang begitu daif dengan keadaan mereka yang terlantar uzur, mereka begitu mengharapkan bantuan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka seharian. Semoga Allah membuka pintu hati kita untuk terus menyumbang bagi membela nasib golongan-golongan yang terpinggir ini.
 
Picture
Sekitar Majlis Berbuka Puasa di Surau Kg Telaga Papan
Seramai lebih 200 orang ibu tunggal sekitar Kerteh dan Kemasik diraikan di dalam suatu majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan IKRAM Kemaman dan Wanita IKRAM Kemaman di Surau Kampung Telaga Papan pada Jumaat, 27 Julai lalu. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang di bawah Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H.





Program ramah mesra bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kemasik itu telah dimulakan sejak awal pagi di mana Wanita IKRAM telah turun padang bersama-sama ahli Pertubuhan Ibu Tunggal Kemasik untuk bergotong-royong menyediakan juadah berbuka di rumah Pengerusi Pertubuhan itu sendiri, Puan Rokiah Awang. Menurut Pn Rokiah, di Kemasik sahaja terdapat seramai lebih 500 orang ibu tunggal dan Pertubuhan itu giat menjalankan aktiviti-aktiviti untuk memberikan kebajikan kepada ibu tunggal serta menawarkan kelas-kelas latihan kepakaran memasak dan menjahit untuk membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Majlis berbuka puasa pada petang itu yang dipengerusikan oleh TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam turut dihadiri oleh Pengerusi JKK Kampug Telaga Papan, En Ghalib bin Mohamad. Majlis turut mengundang Pengerusi Islamic Relief Malaysia Daerah Kemaman, Hj Zameran Jusoh untuk menyampaikan tazkirah Ramadan.

Di dalam majlis itu juga, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Hajah Yong Rafidah b Salleh dalam ucapan aluannya amat berbesar hati dengan penyertaan yang begitu ramai daripada Pertubuhan Ibu Tunggal dan berharap Wanita IKRAM Kemaman akan terus prihatin dalam membantu golongan ini dalam segenap aspek kehidupan. Hjh Yong juga menyatakan bahawa ini adalah permulaan yang baik kepada jalinan silaturrahim dan kerjasama yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.