Picture
Sekitar Majlis Berbuka Puasa di Surau Kg Telaga Papan
Seramai lebih 200 orang ibu tunggal sekitar Kerteh dan Kemasik diraikan di dalam suatu majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan IKRAM Kemaman dan Wanita IKRAM Kemaman di Surau Kampung Telaga Papan pada Jumaat, 27 Julai lalu. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang di bawah Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H.





Program ramah mesra bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kemasik itu telah dimulakan sejak awal pagi di mana Wanita IKRAM telah turun padang bersama-sama ahli Pertubuhan Ibu Tunggal Kemasik untuk bergotong-royong menyediakan juadah berbuka di rumah Pengerusi Pertubuhan itu sendiri, Puan Rokiah Awang. Menurut Pn Rokiah, di Kemasik sahaja terdapat seramai lebih 500 orang ibu tunggal dan Pertubuhan itu giat menjalankan aktiviti-aktiviti untuk memberikan kebajikan kepada ibu tunggal serta menawarkan kelas-kelas latihan kepakaran memasak dan menjahit untuk membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Majlis berbuka puasa pada petang itu yang dipengerusikan oleh TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam turut dihadiri oleh Pengerusi JKK Kampug Telaga Papan, En Ghalib bin Mohamad. Majlis turut mengundang Pengerusi Islamic Relief Malaysia Daerah Kemaman, Hj Zameran Jusoh untuk menyampaikan tazkirah Ramadan.

Di dalam majlis itu juga, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Hajah Yong Rafidah b Salleh dalam ucapan aluannya amat berbesar hati dengan penyertaan yang begitu ramai daripada Pertubuhan Ibu Tunggal dan berharap Wanita IKRAM Kemaman akan terus prihatin dalam membantu golongan ini dalam segenap aspek kehidupan. Hjh Yong juga menyatakan bahawa ini adalah permulaan yang baik kepada jalinan silaturrahim dan kerjasama yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sebanyak 220 pek sumbangan telah diagihkan kepada semua ibu tunggal yang hadir pada petang itu telah disampaikan oleh Hj Zameran dan Hjh Yong Rafidah. Pn Rokiah Awang dalam ucapan penghargaannya telah menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak IKRAM Kemaman yang prihatin terhadap nasib golongan ibu tunggal yang selama ini kurang mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak luar dan berharap usaha-usaha seperti ini dapat diteruskan di masa-masa mendatang. Pihaknya bersama-sama Wanita IKRAM merancang untuk mengagihkan lebihan sumbangan bagi ibu tunggal yang uzur dalam sesi ziarah rumah ke rumah Ahad ini.

Laporan disediakan oleh JK Media Wanita IKRAM Kemaman



Leave a Reply.