Picture
Jika masa kini kita berasa kagum dan takjub dengan kemampuan dunia menghantar manusia ke angkasa, mencipta pelbagai kenderaan yang mampu menerobos lapisan udara, satelit yang berupaya melihat seantero pelusuk dunia, Islam terlebih dahulu menyaksikan keajaiban suatu perjalanan yang jauh namun mengambil masa semalaman sahaja. Ia sudah pun berlaku pada tanggal 27 Rejab sekitar 1400 tahun yang lalu.

Bagaimana ia berlaku? Pastinya peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah suatu 'anugerah' daripada Allah kepada Rasulullah serta kepada umat Islam khususnya, seperti yang diceritakan di dalam qalamNya, surah Al-Israa' ayat 1,

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى  بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى  الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ  

maksudnya, "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Sesungguhnya perkhabaran tentang peristiwa ini daripada Nabi Muhammad sendiri kepada kaumnya membawa kejutan yang besar. Amat payah untuk mereka pada zaman itu untuk mempercayai kemampuan manusia biasa untuk mengharungi perjalanan yang panjang ini dalam jangka masa yang sangat singkat melainkan mereka yang benar-benar beriman kepada Allah swt.

Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad saw menjadi imam dalam solat yang disertai oleh roh para nabi dan rasul as di Masjidil Aqsa. Ini menguatkan kebenaran Muhammad s.a.w sebagai utusan Allah sekaligus membuktikan bahawa turunnya Islam adalah sebagai pelengkap kepada ajaran-ajaran yang diturunkan Allah melalui Rasul-rasul sebelumnya.  

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana
di  kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan  percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj,  Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di
kalangan Bani  Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang  cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud  sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

    
Kebenaran  al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi  pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu  agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT  dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan  akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan  yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini.  Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya  tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa  oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa
berjuang mengharungi perjuangan  yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada  Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang  disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi  yang dibunuh dan ada yang dipenjara. Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang  membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi  bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa  Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan  takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah  Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah  habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi  apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan  Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat  ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan  Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya  orang yang berpegang dengan Islam
sehingga mati dan ke mana arah orang yang  menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang  dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam  berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu  kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa  Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di  dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi  Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana  yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT :

  يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا  اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ 

maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam."
Surah Al-i 'Imran ayat 102