Picture
Bergambar bersama banner Kem IKRAM Junior
Satu program pemantapan jasmani, rohani dan minda kanak-kanak telah dianjurkan dengan jayanya oleh Wanita IKRAM Kemaman pada 25 Mei lalu. Program yang mensasarkan anak-anak berusia 7-12 tahun ini atau dinamakan Kem IKRAM Junior telah diadakan di De Rhu Beach Resort.

Seramai 106 orang anak-anak telah menyertai program sehari ini, dimeriahkan dengan kehadiran ibubapa serta ahli keluarga IKRAM Kemaman. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan mewarna, explorace dan mandi kolam.

Program anjuran Wanita IKRAM Kemaman di bawah jawatankuasa IKRAM Junior ini bertujuan untuk mengisi masa lapang anak-anak semasa cuti persekolahan dengan aktiviti yang bermanfaat serta menggalakkan ibubapa untuk memberikan masa yang berkualiti bersama anak-anak mereka. Pertubuhan IKRAM khususnya Wanita IKRAM amat prihatin dan komited untuk memastikan pendidikan anak-anak terjaga bukan sahaja dari sudut duniawi, malahan ukhrawi. Oleh itu, pelbagai inisiatif telah disusun melalui jawatankuasa IKRAM Junior untuk membangunkan potensi anak-anak ini agar menjadi generasi yang soleh dan musleh, inshaAllah.

Picture
Seronoknya mandi kolam!
Picture
Anak-anak menunaikan solat secara berjamaah
Picture
Anak-anak khusyuk mendengar nasihat dari bonda
Picture
Kem IKRAM Junior sangat best!
 
Picture
Penjagaan kesihatan yang menyeluruh daripada aspek mental dan fizikal serta emosi dan rohani adalah amat penting untuk melahirkan generasi yang cemerlang.
Pengabaian salah satu daripada aspek kesihatan ini akan menimbulkan kepincangan dalam struktur sosial masyarakat. Ini selaras dengan objektif Karnival Kesihatan
Pekan Kerteh bertemakan “Sihat Tubuh, Sihat Minda, Sihat Rohani, Cemerlang Peribadi” anjuran Pertubuhan IKRAM Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kerteh pada 11 Mei 2012 yang lalu.
 
Timbalan Yang DiPertua IKRAM Terengganu merangkap Penasihat Program, Hj Zameran Jusoh dalam ucapan aluannya sempena Karnival Kesihatan Pekan Kerteh
menekankan peri pentingnya ibubapa khususnya untuk memastikan anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang sihat bermula dari rumah. Ini kerana, pelbagai masalah sosial yang timbul dalam masyarakat hari ini adalah bermula daripada pengabaian kepada penjagaan kesihatan yang menyeluruh baik dari segi mental dan fizikal, emosi dan rohani.

“Pertubuhan IKRAM Kemaman amat sensitif tentang kebajikan dan pembangunan masyarakat, dan giat menjalankan pelbagai inisiatif penerangan serta khidmat kepada masyarakat sebagai usaha pencegahan kepada pelbagai permasalahan sosial yang semakin meruncing. Justeru Karnival Kesihatan ini dianjurkan untuk menyampaikan mesej kesedaran ini dan menggalakkan masyarakat untuk membina persekitaran yang sihat bermula dengan institusi keluarga itu sendiri”,
katanya.

Beliau yang juga Pengurus Bank Islam Kemaman menekankan peri pentingnya kerjasama erat semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan diteruskan bagi memastikan pembangunan masyarakat yang sihat dan sejahtera di bawah panduan nilai-nilai agama yang luhur.

Beliau juga menyaran agar semua anggota masyarakat meningkatkan kepedulian terhadap isu-isu kesihatan ini agar masyarakat dapat hidup dengan selesa dan produktif. Ini termasuk isu-isu kebersihan kawasan tempat tinggal dan memastikan ianya sentiasa bersih daripada sampah sarap dan meningkatkan keceriaan hidup berjiran.

Karnival Kesihatan Pekan Kerteh yang telah diadakan di Dewan Sivik Pekan Kerteh ini adalah program yang julung-julung kalinya diadakan oleh Pertubuhan IKRAM Kemaman dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan & Keceriaan (JKKK) Kampung Telaga Papan, Kampung Gelugor dan Kampung Tengah, serta Masjid Jamek Kerteh dan Klinik Kesihatan Kerteh. Karnival ini menyediakan aktiviti senamrobik, forum kesihatan dan kekeluargaan, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta pameran-pameran penerangan kesihatan.

Program senamrobik membuka tirai karnival sebagai pemanas badan dengan penglibatan bekas atlet kebangsaan Zaki Sadri dan isteri yang mengendalikan program ini.  Ianya disusuli pula dengan forum kesihatan dan kekeluargaan dimana seramai tiga tokoh panelis yang berwibawa telah dijemput. Mereka yang dijemput sebagai panelis ialah Pakar Psikiatri Hospital Hulu Terenganu, Dr Khairi Che Mat, TYDP IKRAM Terengganu, Zameran Jusoh yang juga Pengurus Bank Islam Cawangan Kemaman, Yusnani Abdul Hamid iaitu Pengerusi Raudhatus Sakinah Negeri Selangor. Forum ini telah dipengerusi oleh AJK Wanita IKRAM Kemaman, Ustazah Rosmawati Ahmad.

Di dalam forum ini, Dr Khairi menyentuh akan peri pentingnya memiliki tubuh badan yang sihat kerana ianya mempengaruhi tindak tanduk seseorang di dalam kegiatan hariannya. Menurut kajian yang dilakukan, mereka yang memiliki kesihatan mental yang kurang sihat cenderung melakukan kesalahan jalanraya. Ini juga member kesan kepada meningkatnya jumlah kemalangan jalanraya di negara ini.
Selaku perunding sebuah pusat bimbingan remaja puteri pula, Yusnani Abdul Hamid menyentuh tentang peningkatan gejala sosial di kalangan remaja berpunca daripada pengabaian kesihatan emosi dan rohani remaja. Ianya juga menular di kalangan remaja di pusat-pusat pengajian tinggi terkemuka di negara ini. Beliau menasihati agar para ibubapa mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka
dan tidak menyerahkan hanyasanya kepada pihak sekolah semata-mata. Sementara itu, Zameran Jusoh menyarankan agar warga masyarakat kembali kepada penghayatan agama secara menyeluruh dengan memastikan pembangunan generasi yang sihat dan cemerlang bukan sahaja di dunia malah sehingga ke hari akhirat.

Masyarakat setempat juga mendapat maklumat tentang kepentingan menjaga kesihatan menerusi pameran yang telah diadakan oleh IKRAM Health, Fight Cancer Group (FCG) Kemaman dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) Kemaman. Selain daripada itu, gerai-gerai jualan juga diadakan bagi menambah keceriaan program kali ini.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 1 tengahari ini telah menarik lebih 500 orang warga masyarakat Pekan Kerteh menyertainya. Disamping perkhidmatan kesihatan yang diberikan, program ini juga turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh para pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Amin Kemaman iaitu salah sebuah rangkaian institusi pendidikan Islam swasta yang diusahakan oleh IKRAM Kemaman di daerah ini.

Seorang warga emas, Hussin bin Abdullah dari Kampung Gelugor berkata program ini sangat bermanfaat kepada masyarakat dan seharusnya dilakukan dengan lebih kerap lagi agar masyarakat kampung khususnya mudah untuk mendapat khidmat pemeriksaan kesihatan. Beliau amat berterima kasih di atas inisiatif IKRAM dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.

Seorang lagi pengunjung, Noraini Anuar dari Kg Baru Kerteh pula berharap lebih banyak penyertaan daripada golongan muda seperti beliau ke program seumpama ini. Ini kerana bagi beliau golongan muda perlu memastikan penjagaan kesihatan yang seimbang dapat dimulakan sejak awal lagi menerusi budaya gaya hidup sihat seperti yang ditekankan menerusi karnival ini.

Program ini telah dirasmikan oleh Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar Mohamad dan ditutup perasmiannya oleh TYDP IKRAM Kemaman, Muzahar Hitam.