Antara yang sempat diziarahi adalah golongan ibu tunggal yang tidak mampu lagi berjalan, tetapi masih gigih mencari sumber ekonomi dengan membuat produk-produk kraf tangan daripada surat khabar. Warga emas ini yang tinggal bersama 7 orang anak lelakinya hanya mampu berjalan secara mengesot dan tidak mampu lagi membuat kerja-kerja rumah seperti memasak dan sebagainya. Terdapat juga kes warga emas yang terlantar akibat serangan angin ahmar dan parkinson, buta penglihatan dan ibu tunggal yang hilang keupayaan akibat kemalangan. Mereka kebanyakannya tinggal di perumahan PPRT Kampung Telaga Papan dan Kampung Gelugor.
Usaha ziarah ini amat perlu diteruskan oleh PSR untuk menghayati sendiri keperitan yang terpaksa ditanggung oleh sebahagian saudara muslim kita agar bantuan yang sewajarnya dapat dihulurkan kepada mereka secara berterusan. Melihatkan tempat kediaman mereka yang begitu daif dengan keadaan mereka yang terlantar uzur, mereka begitu mengharapkan bantuan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka seharian. Semoga Allah membuka pintu hati kita untuk terus menyumbang bagi membela nasib golongan-golongan yang terpinggir ini.