Picture
Bersama seorang warga emas yang buta penglihatan
Lanjutan daripada usaha Pertubuhan IKRAM Kemaman menyantuni golongan ibu tunggal dan warga emas terbiar menerusi Projek Semarak Ramadhan (PSR) 1433H, Wanita IKRAM Kemaman dengan kerjasama Kelab Ibu Tunggal Kemasik telah menziarahi rumah-rumah golongan terlantar ini di Kampung Telaga Papan dan Kampung Gelugor pada hari Ahad, 29 Julai 2012.



Antara yang sempat diziarahi adalah golongan ibu tunggal yang tidak mampu lagi berjalan, tetapi masih gigih mencari sumber ekonomi dengan membuat produk-produk kraf tangan daripada surat khabar. Warga emas ini yang tinggal bersama 7 orang anak lelakinya hanya mampu berjalan secara mengesot dan tidak mampu lagi membuat kerja-kerja rumah seperti memasak dan sebagainya. Terdapat juga kes warga emas yang terlantar akibat serangan angin ahmar dan parkinson, buta penglihatan dan ibu tunggal yang hilang keupayaan akibat kemalangan. Mereka kebanyakannya tinggal di perumahan PPRT Kampung Telaga Papan dan Kampung Gelugor.


Picture
Ibu tunggal ini membuat kraf tangan daripada surat khabar sebagai sumber ekonomi
Picture
Ibu tunggal yang terlantar akibat kemalangan
Picture
Warga emas yang terlantar akibat strok
Picture
Warga emas yang buta penglihatan
Wanita IKRAM Kemaman yang diwakili oleh Pn Noriah Yusof dan Pn Sridayu Samsuri disertai Pengerusi Kelab Ibu Tunggal, Pn Rokiah serta Pn Hasita telah menyampaikan sumbangan PSR kepada mereka dalam bentuk pek makanan. 

Usaha ziarah ini amat perlu diteruskan oleh PSR untuk menghayati sendiri keperitan yang terpaksa ditanggung oleh sebahagian saudara muslim kita agar bantuan yang sewajarnya dapat dihulurkan kepada mereka secara berterusan. Melihatkan tempat kediaman mereka yang begitu daif dengan keadaan mereka yang terlantar uzur, mereka begitu mengharapkan bantuan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka seharian. Semoga Allah membuka pintu hati kita untuk terus menyumbang bagi membela nasib golongan-golongan yang terpinggir ini.
 
Picture
Sekitar Majlis Berbuka Puasa di Surau Kg Telaga Papan
Seramai lebih 200 orang ibu tunggal sekitar Kerteh dan Kemasik diraikan di dalam suatu majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan IKRAM Kemaman dan Wanita IKRAM Kemaman di Surau Kampung Telaga Papan pada Jumaat, 27 Julai lalu. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang di bawah Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H.





Program ramah mesra bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kemasik itu telah dimulakan sejak awal pagi di mana Wanita IKRAM telah turun padang bersama-sama ahli Pertubuhan Ibu Tunggal Kemasik untuk bergotong-royong menyediakan juadah berbuka di rumah Pengerusi Pertubuhan itu sendiri, Puan Rokiah Awang. Menurut Pn Rokiah, di Kemasik sahaja terdapat seramai lebih 500 orang ibu tunggal dan Pertubuhan itu giat menjalankan aktiviti-aktiviti untuk memberikan kebajikan kepada ibu tunggal serta menawarkan kelas-kelas latihan kepakaran memasak dan menjahit untuk membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Majlis berbuka puasa pada petang itu yang dipengerusikan oleh TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam turut dihadiri oleh Pengerusi JKK Kampug Telaga Papan, En Ghalib bin Mohamad. Majlis turut mengundang Pengerusi Islamic Relief Malaysia Daerah Kemaman, Hj Zameran Jusoh untuk menyampaikan tazkirah Ramadan.

Di dalam majlis itu juga, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Hajah Yong Rafidah b Salleh dalam ucapan aluannya amat berbesar hati dengan penyertaan yang begitu ramai daripada Pertubuhan Ibu Tunggal dan berharap Wanita IKRAM Kemaman akan terus prihatin dalam membantu golongan ini dalam segenap aspek kehidupan. Hjh Yong juga menyatakan bahawa ini adalah permulaan yang baik kepada jalinan silaturrahim dan kerjasama yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.


 
Picture
Sebahagian peserta Ramadan & Me
Bersempena menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Wanita IKRAM Kemaman telah menganjurkan suatu program persediaan Ramadan berbentuk kekeluargaan pada Sabtu, 14 Julai 2012 yang lalu bertempat di Sek Ren Islam Al-Amin Kerteh.

Program Bicara di Ambang Ramadan untuk ibubapa yang telah berjaya mengundang sekitar 50 peserta diisi oleh penyampaian taujihat daripada YDP IKRAM Terengganu, Ust Hj Lokman b Awang. Slot ini bertujuan memberikan gambaran awal tentang suasana yang seharusnya dipupuk di dalam keluarga khususnya menjelang Ramadan serta mengajak pendengar untuk mempersiapkan minda, jasmani dan rohani untuk menghadapi bulan madrasah tarbiah yang penuh keberkatan ini. Ustaz Hj Lokman Awang dalam penyampaiannya turut mengingatkan para ibubapa agar bersama-sama mengajak keluarga untuk meningkatkan amalan dan ibadah untuk meraih pahala yang berlipat kali ganda sepanjang Ramadan ini. Beliau juga berharap ibubapa dapat berusaha untuk mengubah perspektif Ramadan yang negatif di dalam keluarga agar kehadiran Ramadan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membentuk jatidiri anak-anak menjadi insan yang soleh dan musleh.

Dijalankan secara selari, program Ramadan & Me anak-anak pula telah disertai oleh kira-kira 80 orang kanak-kanak berusia lingkungan 6-12 tahun. 


 
Picture
Barisan pemain yang mewakili IKRAM Kemaman
Alhamdulillah, pada hari Sabtu, 13 Julai yang lalu, Sukan Wanita Negeri Terengganu 2012 telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan lebih 80 peserta dari daerah Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu. Wanita Kemaman telah menghantar seramai 11 orang pemain yang mewakili daerah untuk acara badminton dan bola jaring.




Acara ini telah dihoskan oleh Wanita IKRAM Dungun, di SMK Seri Dungun dan dirasmikan oleh TYDP IKRAM Terengganu merangkap YDP IKRAM Dungun iaitu Tn Hj Mohd Nawawi b Yusof. Beliau dalam ucapan perasmiannya menekankan pentingnya Wanita IKRAM menepati salah satu muwassofat tarbiah iaitu qawiyul jismi, atau tubuh badan yang sihat. Ini kerana jasmani sihat dapat menyumbang kepada perkembangan dan kelancaran aktiviti dakwah dan tarbiah. Beliau juga mengharapkan Wanita IKRAM lebih agresif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti seumpanya kerana sukan bukan sahaja melatih jasmani malahan membentuk minda dan peribadi yang berdaya saing atau kompeten dan proaktif selain merapatkan ukhuwwah dan silaturrahim.

Acara kemudian diteruskan dengan aktiviti senamrobik sebagai 'pemanas' diketuai oleh jurulatih senamrobik bertauliah yang dijemput khas oleh penganjur. 

Dalam acara badminton, Kemaman yang diwakili oleh 4 pemain; 3 daripanya merupakan tenaga pengajar Sek Ren Islam Al-Amin Kerteh dan Kemaman iaitu Muallimah Noraini serta Hamizah dan seorang lagi adalah ukhti pelajar China yang sedang membuat praktikal di Kerteh iaitu Hazirah Uloom berjaya menjadi juara keseluruhan. Daerah Dungun menjadi naib juara, sementara K.Terengganu di tempat ketiga.

Bagi acara bola jaring pula, Kemaman terpaksa bermain dengan hanya 7 pemain utama, tanpa pemain simpanan disebabkan ketiadaan pemain disaat akhir. Walau bagaimanapun, pada pusingan pertama menentang Dungun, Kemaman berjaya mengalahkan Dungun dengan 7 jaringan berbalas 6. Meskipun ramai pemain Kemaman mengalami kecederaan mereka tetap meneruskan perlawanan tanpa pemain gantian di pusingan penentuan menentang Kuala Terengganu. Kuala Terengganu yang memiliki kelebihan tenaga dan pemain yang cukup telah berjaya menewaskan pasukan Kemaman dengan kelebihan 2 jaringan. Pasukan Kemaman yang menjadi Naib Juara telah diwakili oleh ukht Noriah Yusof, Sridayu Samsuri, Aminah Salleh, Amalina, Shahidayu, Liyana dan Ila.

Acara sukaneka seterusnya dijalankan melibatkan penyertaan semua peringkat umur dengan aktivti yang sangat kreatif dan mencabar. Dalam acara ini Kemaman telah berjaya menjadi Naib Juara keseluruhan. Juara disandang oleh Dungun sementara Kuala Terengganu di tempat ketiga

Sukan Wanita IKRAM Terengganu 2012 diakhiri dengan majlis penyampai hadiah serta acara penutup daripada ukht Nor Hanum. Syabas kepada tuan rumah, Wanita Dungun dan kepada semua kontinjen yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam suasan yang penuh ukhuwwah. Semoga Allah memberkati usaha kita untuk mendaulatkan Islam yang syumul di tanah air ini.

Keputusan keseluruhan:
Badminton
Juara : Kemaman
N.Juara : Dungun
Ketiga : K.Terengganu

Bola Jaring
Juara : K.Terengganu
N.Juara : Kemaman
Ketiga : Dungun

Sukaneka
Juara : Dungun
N.Juara : Kemaman
Ketiga : K.Terengganu

Laporan disediakan oleh JK Media Kemaman

 
Dalam usaha menyemarakkan dan meraikan kehadiran Ramadhan Al-Mubarak, Wanita IKRAM Kemaman akan menganjurkan satu program khas berbentuk kekeluargaan. Program selari buat ibubapa serta anak-anak ini bertujuan untuk mempersiapkan keluarga muslim bagi menghadapi Ramadhan dengan sebaiknya. Ini sesuai dengan tuntutan sunnah yang menggalakkan umat Islam untuk mempersiapkan minda, jasmani dan ruhani dalam menghadapi bulan tarbiah yang penuh barakah ini. 

Program yang sama akan diadakan serentak di peringkat Chukai. Semua dijemput hadir. 
*Yuran hanya dikenakan untuk penyertaan Ramadhan & Me. Jamuan ringkas disediakan untuk semua hadirin.
 
Picture
Menjejaki pertengahan Syaaban membuatkan kita semakin merasakan bahang ketibaan Ramadhan yang dinantikan. Bulan yang penuh dengan barakah dan kemuliaan ini adalah saat di mana umat Islam seharusnya berlumba-lumba melipat gandakan amalan dan memperbaiki diri untuk memastikan kita tidak ketinggalan daripada meraih keampunan dan ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. 

Menyedari keutamaan bulan yang dirahmati ini, IKRAM Kemaman berusaha untuk menyantuni masyarakat dalam usaha dakwah dan tarbiah agar umat Islam di Kemaman khususnya dapat bersama-sama menghayati kehadiran Ramadhan menerusi program-program kemasyarakatan sempena menyambut Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Alhamdulillah pada pagi 5 Julai 2012 bersamaan 15 Syaaban 1433 ini, satu pertemuan telah diatur diantara IKRAM Kemaman dengan Pejabat Agama Daerah Kemaman. IKRAM Kemaman diwakili YDP IKRAM Daerah yang baru iaitu Ustaz Hj Mazlan bin Ahmad, menemui Ustaz Hj Zulkefli bin Othman selaku Pegawai Agama Daerah di pejabat beliau di Jalan, Kamunting, Kemaman.


Perjumpaan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan di antara IKRAM Daerah Kemaman dengan Pejabat Agama Daerah dan berbincang tentang satu projek sempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu Projek Semarak Ramadhan (PSR) Peringkat Daerah Kemaman.

Pihak Pejabat Agama Daerah Kemaman bersetuju untuk menganjurkan projek ini secara bersama dengan IKRAM Kemaman. Antara program yang bakal digerakkan di bawah projek ini ialah majlis berbuka puasa di masjid-masjid luar bandar dan bersama saudara baru, bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik, program remaja dan belia ra'ikan Ramadhan, kempen solat berjamaah setiap waktu di masjid, program iktikaf perdana di masjid-masjid, program membersihkan masjid dan kawasan perkuburan dan kempen berhenti merokok.

Pihak Pejabat Agama Daerah juga bersetuju dengan tarikh 19 Julai 2012  (Khamis mlm Jumaat) bersamaan 29 Syaaban 1433 ini sebagai tarikh pelancaran Projek Semarak Ramadhan Peringkat Daerah Kemaman. Ianya juga bakal disertai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di sekitar daerah ini. Cadangan masjid untuk majlis pelancaran ialah Masjid Pengkalan Kandang dekat Taman Chukai Utama, Kemaman. Ianya bakal dijayakan bersama dengan semua jawatankuasa masjid seluruh Kemaman dan Pertubuhan Masjid Daerah Kemaman. Satu persidangan akhbar akan dibuat selepas majlis pelancaran tersebut.

Peluang projek ini akan digunakan untuk kita mendekati masyarakat khususnya di luar bandar, felda dan saudara-saudara baru serta masyarakat orang asli. Doakan program ini berjalan lancar dan diberkati Allah.