PictureDeretan kereta ditenggelami air
Hari ini sudah hampir tiga minggu semenjak banjir besar melanda daerah Kemaman. Musibah yang telah melumpuhkan pusat bandar Chukai serta sebahagian besar kawasan yang berpenduduk padat ini banyak mencoretkan kisah suka duka mangsa banjir dan penduduk sekitar. Sebahagian besar mangsa banjir mengalami kerosakan kediaman yang teruk selain kemusnahan harta benda akibat ditenggelami air bah yang melepasi paras kepala di sesetengah kawasan seperti Seberang Tayor. Banjir yang disifatkan diluar jangkaan ini turut menyaksikan korban nyawa akibat lemas dan tidak kurang juga penduduk yang mengalami kecederaan.

Keadaan di pusat-pusat pemindahan pada hari-hari pertama amat menyedihkan. Kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda dan tiba sehelai sepinggang dalam keadaan hujan lebat dan kesejukan yang mencengkam. Dalam keadaan tiada bekalan elektrik dan air bersih mereka diuji pula dengan lapar dahaga apabila bekalan makanan turut terputus berikutan paras air yang naik mendadak menyebabkan tiada laluan untuk ke kawasan tersebut melainkan dengan bot.

Sebahagian besar rumah ahli IKRAM Kemaman turut ditenggelami air termasuklah Sek Men Islam Al-Amin Kemaman. Mereka terpaksa berpindah sementara ke tingkat atas SMIAAK dalam keadaan tiada bekalan elektrik dan air bersih, juga bekalan makanan yang terhad disebabkan kawasan sekitar ditenggelami air lebih satu meter, menyebabkan laluan masuk ke kawasan itu terputus

PictureMenyediakan makanan untuk mangsa banjir
Kami bernasib baik kerana kawasan Kerteh tidak dinaiki air, dalam keadaan tersentak dengan musibah yang menimpa sahabat-sahabat di Chukai dan kawasan sekitarnya, ahli-ahli IKRAM di sekitar Kerteh terus membuka bilik operasi untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir. Antara usaha awal yang dilakukan oleh Wanita IKRAM ialah menyediakan makanan siap dimasak untuk mangsa banjir di Kemaman. Setiap hari kami berusaha menyediakan sekitar 300-400 pek makanan sebanyak 2 kali sehari untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Sepanjang usaha tersebut kami diuji dengan terputusnya bekalan air bersih di hampir keseluruhan kawasan Kerteh, juga kekurangan bekalan bahan mentah untuk memasak. Namun berkat kerjasama dan keprihatinan jaringan wanita IKRAM di Kerteh, urusan kami dipermudahkan Allah swt.

Terlalu banyak pengalaman dan pengajaran yang berharga hikmah daripada bah yang melanda Kemaman. Sesungguhnya Allah swt mengkehendaki yang terbaik buat kami dengan ujian kecil ini. Kami berharap untuk terus berkongsi pengalaman-pengalaman berharga ini di masa terdekat, inshaAllah.

Bersambung..




Leave a Reply.