Picture
Setiap wanita perlu memainkan peranan masing-masing di dalam institusi keluarga dan masyarakat bagi melahirkan generasi yang sihat jasmani, emosi, rohani dan intelek. Penekanan ini disuarakan oleh Ketua Wanita IKRAM Terengganu, Pn Hjh Ustazah Khadijah binti Dibok semasa mengulas berkenaan peranan keluarga dan masyarakat dalam melahirkan peribadi yang cemerlang amalan di dalam forum sempena Karnival Kesihatan IKRAM di Felda Kerteh 5 pada 23 Jun 2012 yang lalu.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap rapuhnya institusi kekeluargaan pada hari ini yang menyumbang kepada permasalahan sosial yang semakin meruncing seperti pengambilan dadah, penzinaan, rempit, kes curi dan sebagainya. Katanya ini berlaku kerana generasi kini tidak mempunyai role model atau contoh yang baik khususnya di dalam institusi keluarga yang seharusnya menjadi madrasah tarbiah pertama. Ibu bapa khususnya perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, mendidik diri untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah seterusnya menjadi contoh yang terbaik untuk anak-anak. Pendidikan rabbani ini perlu diterapkan di dalam diri anak-anak sedar kecil, agar mereka memiliki imunisasi yang kuat untuk berdepan dan bergaul dengan masyarakat.

Ini selaras dengan firman Allah di dalam surah At-Tahrim yang bermaksud, “Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari azab neraka” memperlihatkan betapa pentingnya peranan setiap individu untuk sama-sama membimbing ahli keluarga mereka.

Forum yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu, Pn Hjh Noor Ashikeen Ab. Hamid itu turut menampilkan Yang Dipertua IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan bin Ahmad sebagai panelis.

Dalam mengulas berhubung peranan masyarakat dalam melahirkan peribadi yang cemerlang amalan Ustaz Hj Mazlan bin Ahmad menyatakan setiap anggota masyarakat perlu  sama-sama mengembalikan budaya saling nasihat menasihati bukan sahaja di dalam ruang lingkup keluarga tetapi juga di dalam kelompok kejiranan. Kita sebagai jiran harus mengambil berat tentang kebajikan dan perkembangan jiran yang lain terutamanya sesama muslim, bertepatan dengan konsep persaudaran yang dianjurkan oleh Islam iaitu setiap mukmin itu adalah bersaudara. Kita juga harus terbuka dan bersikap positif terhadap teguran yang diberikan oleh anggota kejiranan agar suasana hidup bermasyarakat dapat diperteguhkan.

Para guru di sekolah pula seharusnya bukan hanya setakat menjadi ‘pengajar’ tetapi harus juga mendidik pelajar menanamkan sifat taqwa dan berakhlak mulia. Sifat taqwa atau takut kepada Allah dapat membendung manusia daripada melakukan dosa dan maksiat serta menjadikan setiap amalan yang dilakukan itu lebih sempurna.

Ulasan yang begitu menarik dan jelas oleh para panelis serta kebijaksanaan moderator mengendalikan perbincangan ini telah menarik perhatian sekitar 100 orang pengunjung karnival. Rata-rata mereka memberikan maklumbalas yang amat memberangsangkan dan berharap IKRAM dapat meneruskan program-program sebegini yang mampu menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

Karnival Kesihatan IKRAM di Felda Kerteh 5 ini adalah program khidmat masyarakat kali kedua anjuran bersama Pertubuhan IKRAM daerah Kemaman dan Dungun, kali ini dengan kerjasama pengurusan Felda, Gabungan Penggerak Wanita dan Masjid Felda Kerteh 5. Karnival Kesihatan ini adalah sebahagian aktiviti di bawah Jawatakuasa Ummah dan Masyarakat Madani yang diketuai oleh Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi bertujuan untuk menyalurkan khidmat seterusnya menyampaikan dakwah kepada masyarakat pelbagai lapisan.

Program ini dimulakan dengan senamrobik yang diketuai oleh bekas atlet kebangsaan, Zaki Sadri dan isterinya Pn Atiqah. Program seterusnya dirasmikan oleh TYDP IKRAM Terengganu, Tn Hj Nawawi Yusof.

Pemeriksaan dan rundingan kesihatan secara percuma telah diadakan oleh unit perubatan IKRAM di bawah IKRAM Health yang diketuai oleh Dr Nurul Jannah bersama Dr Nik Solehah dan pakar pemakanan, Dr Nadhirah. IKRAM juga menerima kehadiran Klinik Kesihatan Ketengah Jaya yang menyalurkan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung. Di samping itu, gerai-gerai penerangan IKRAM dan Aqsa Syarif turut dibuka untuk memberikan informasi tentang aktivisma dan dakwah IKRAM kepada pengunjung. Turut menyediakan gerai penerangan adalah dari Fight Cancer Group (FCG) Kemaman dan Malaysian Breasfeeding Peer Councelor (MBPC).

Lokaliti yang berminat untuk mengundang IKRAM untuk mengadakan Karnival Kesihatan di tempat masing-masing boleh berhubung terus dengan Ketua JK Ummah dan Masyarakat Madani IKRAM Kemaman, Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi di talian 019-3591268.

Laporan disediakan oleh JK Media Wanita IKRAM Kemaman


 
Picture
Alhamdulillah, Allah swt menyempurnakan janjinya di atas tanah Mesir semalam, tanah kelahiran para anbiya'; di mana seluruh dunia menyaksikan kemenangan ke atas Ikhwanul Muslimin dalam pilihanraya Presiden Mesir. Perjuangan yang memakan masa puluhan tahun disulami pelbagai penyiksaan demi penyiksaan ke atas pejuang-pejuang Islam terbayar dengan kejayaan yang amat besar terhadap Islam.

Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1924 oleh As-Syahid Imam Hassan Al Banna telah mengharungi pahit getir dalam mengembalikan pemerintahan Islam di bumi Mesir. Imam Hassan Al Banna sendiri telah syahid dibunuh oleh pemerintah yang mahu melenyapkan perjuangan Islam di atas muka bumi ini, malahan ribuan anggotanya disumbat ke dalam penjara dan disiksa dengan pelbagai cara untuk memastikan mereka menghentikan dakwah Islam kepada umat.

Namun, benarlah akan janji Allah dalam qalamNya;
,“Sesungguhnya Allah pasti membantu orang yang menolong (agama)-Nya.
  Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa, (yaitu) orang-orang
  yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan
  sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari
  perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah
  al-Hajj: 40-41)

Terbukti, apabila kita menghadirkan segala prasyarat kepada kemenangan, pada saat itulah Allah akan memberikan kemenangan kepada kita. Hanya sahaja kita tidak boleh berhenti berusaha sebaik mungkin dan bertawakal kepadaNya.  Banyak perkara yang boleh kita pelajari dan teladani daripada perjuangan para Ikhwan di Mesir. Semoga kemenangan Islam di Mesir akan merintis jalan kepada keamanan di Palestin, dan menguatkan lagi semangat pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia untuk terus berjuang menegakkan syariat Islam.

Kemenangan ini pastinya akan menimbulkan tindakbalas lebih radikal Israel dan sekutunya, Amerika. Namun yakinlah tidak ada kuasa yang boleh menandingi kekuasaan Alah swt.
"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah SWT , pasti Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukkanmu." (Surah Muhammad: 7)
Teruskan perjuangan


 
Picture
Jika masa kini kita berasa kagum dan takjub dengan kemampuan dunia menghantar manusia ke angkasa, mencipta pelbagai kenderaan yang mampu menerobos lapisan udara, satelit yang berupaya melihat seantero pelusuk dunia, Islam terlebih dahulu menyaksikan keajaiban suatu perjalanan yang jauh namun mengambil masa semalaman sahaja. Ia sudah pun berlaku pada tanggal 27 Rejab sekitar 1400 tahun yang lalu.

Bagaimana ia berlaku? Pastinya peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah suatu 'anugerah' daripada Allah kepada Rasulullah serta kepada umat Islam khususnya, seperti yang diceritakan di dalam qalamNya, surah Al-Israa' ayat 1,

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى  بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى  الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ  

maksudnya, "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Sesungguhnya perkhabaran tentang peristiwa ini daripada Nabi Muhammad sendiri kepada kaumnya membawa kejutan yang besar. Amat payah untuk mereka pada zaman itu untuk mempercayai kemampuan manusia biasa untuk mengharungi perjalanan yang panjang ini dalam jangka masa yang sangat singkat melainkan mereka yang benar-benar beriman kepada Allah swt.

Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad saw menjadi imam dalam solat yang disertai oleh roh para nabi dan rasul as di Masjidil Aqsa. Ini menguatkan kebenaran Muhammad s.a.w sebagai utusan Allah sekaligus membuktikan bahawa turunnya Islam adalah sebagai pelengkap kepada ajaran-ajaran yang diturunkan Allah melalui Rasul-rasul sebelumnya.  

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana
di  kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan  percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj,  Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di
kalangan Bani  Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang  cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud  sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

    
Kebenaran  al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi  pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu  agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT  dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan  akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan  yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini.  Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya  tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa  oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa
berjuang mengharungi perjuangan  yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada  Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang  disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi  yang dibunuh dan ada yang dipenjara. Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang  membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi  bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa  Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan  takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah  Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah  habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi  apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan  Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat  ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan  Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya  orang yang berpegang dengan Islam
sehingga mati dan ke mana arah orang yang  menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang  dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam  berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu  kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa  Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di  dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi  Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana  yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT :

  يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا  اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ 

maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam."
Surah Al-i 'Imran ayat 102

 
 
Picture
Wanita merupakan asas kepada sebarang perubahan dalam masyarakat. Golongan wanita di Palestin khususnya, memerlukan perhatian utama dalam pembangunan kehidupan keluarga termasuk diri mereka sendiri. Kepungan yang berlaku ke atas Gaza memberi tekanan dan kesan langsung kepada golongan wanita. Mereka merupakan tulang belakang kepada pemimpin keluarga. Kekurangan makanan, pakaian dan
kelemahan pembangunan ekonomi di Palestin memberi impak yang tinggi kepada wanita. Aqsa Syarif Berhad mengambil peranan ini dalam menyampaikan sumbangan
rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin termasuk wanita.
 
Sumbangan dalam bentuk penyediaan keperluan tempat dan pengurusan kewangan bagi
projek-projek yang akan dijalankan telah dipilih melalui kerjasama bersama badan bukan kerajaan di Palestin. Projek Rose-to-Rose (Rose2rose) adalah merupakan Projek Pusat Komuniti Wanita Palestin yang diberi nama “Rose Al-Aqsa” atau “لاقصى١ وردة”.
 
Projek ini merupakan salah satu projek yang masih kurang diwujudkan di Semenanjung Gaza. Projek ini meliputi pemulihan dan penyediaan latihan wanita termasuk kemahiran kraf, menjahit dan beberapa
industri makanan serta, pemerkasaan wanita dalam masyarakat dan ini dapat mengukuhkan mereka dalam sudut tersebut. Pusat komuniti wanita yang disediakaan akan memberi galakan untuk bersaing dalam bidang sains dan praktikal bagi membantu keluarga dan mereka sendiri dalam pembangunan ekonomi negara.

Selain itu juga, pusat himpunan komuniti wanita ini juga, akan menyediakan ruang pemulihan kepada graduan universiti wanita dan peluang-peluang latihan diperingkat institusi tempatan dan pada masa yang sama, ia dapat menghapuskan dan mengurangkan kadar pengangguran. Projek ini akan dilaksanakan sepanjang tahun dan dibahagikan kepada tiga peringkat yang ditadbir dan diselia oleh unit pengurusan projek di Malaysia dan Palestin. Kos keseluruhan pusat komuniti ini melibatkan sejumlah amaun kira-kira RM 300,000.00 berdasarkan nilai pasaran semasa terhadap kos bahan dan kos lain-lain.

Untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan projek Rose2Rose ini dan bagaimana untuk menyumbang dana, tenaga dan kepakaran di sekitar daerah Kemaman, boleh menghubungi Pn Noriah Yusof di talian: 019-9268643 atau lawati laman rasmi Pertubuhan Aqsa Syarif di www.aqsasyarif.org.my