Picture
Alhamdulillah Wanita IKRAM Terengganu dengan kerjasama Petronita dan Biro Muslimah Surau Rantau Petronas telah berjaya menganjurkan sebuah Seminar SuperMom, SuperDad pada Sabtu 20 Oktober 2012 bersamaan 4 Zulhijjah 1433H di Dewan Seri Delima, Bangunan Petronas Wilayah Pantai Timur dekat Kerteh, Kemaman.  Ini merupakan sebahagian daripada siri program keluarga sakinah yang digerakkan  oleh Wanita IKRAM Terengganu.

Program yang disertai hampir 150 orang peserta ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Tuan Hj Wan Hasnan bin Abdullah. Di dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada penganjuran program bersama ini dan ianya wajar dikembangkan di dalam kegiatan-kegiatan yang lain juga. Beliau juga percaya IKRAM dan Petronita mampu menjayakan program-program yang bermanfaat khususnya kepada warga Petronas dan masyarakat amnya.

Seminar kali ini menampilkan seorang tokoh iaitu AJK Wanita IKRAM Pusat yang juga Pengarah Unit Latihan & Pencegahan Raudatus Sakinah Negeri Kelantan iaitu Dr Hjh Hafidzah bt Mustakim. Beliau telah menyampaikan satu ceramah yang cukup bertenaga dan bermaklumat bertajuk "Perjalanan Hidupku" di selang seli dengan pengalaman hidup berkeluarga yang boleh dijadikan  panduan dan pedoman 
buat ibu bapa yang ingin berjaya di dalam mendidik anak-anak mereka berdasarkan peranan ibubapa 5 bintang yang beliau perkenalkan. Beliau yang mendapatkan pendidikan Ijazah Perubatan daripada Monash University, Melbourne, Australia ini  mempunyai lapan orang anak dan suami beliau juga aktif di dalam kegiatan masyarakat selaku Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kelantan. Di dalam ceramah tersebut beliau menekankan tentang kepentingan hidup bermatlamat dan Islam telah  meletakkan matlamat yang jelas kepada manusia bahawa tugasan mereka di dunia  ialah untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan menjadi khalifah Allah yang mengurus dan memakmurkan bumi berdasarkan syariat-Nya. Kehidupan di dunia termasuk mengurus dan memimpin diri dan seisi keluarga adalah  sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk memastikan kita berjaya mendapatkan  husnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan layak memasuki syurga Allah SWT di  akhirat kelak.

Beliau mengajak para peserta khususnya ibu bapa untuk  menghayati firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa':124 yang menyeru para lelaki  dan perempuan untuk membekalkan diri dengan amalan-amalan soleh ketika di dunia  :-
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan amal kebajikan, baik lelaki  mahupun wanita sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga  dan mereka tidak dizalimi sedikitpun."

Beliau juga mengajak semua agar  memastikan seluruh isi keluarga dan keturunan kita berada di syurga berdasarkan  surah at-Tur:21 yang bermaksud :- "Dan orang-orang beriman, beserta anak cucu  mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak  cucu mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal  (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat
dengan apa yang dikerjakannya."
Satu lagi program istimewa sempena seminar ini ialah Forum SuperMom SuperDad yang menampilkan panelis berpengalaman iaitu Ustaz Hj Mohd Lokman bin Dato' Awang selaku YDP IKRAM Terengganu, Ustazah Hjh Samsiah bt Dato' Awang, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Dr Hjh Hafidzah bt Mustakim. Forum ini dikendalikan oleh moderator berpengalaman Ustazah Hjh Rosmawati bt Ahmad, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Daerah Kemaman.

Di dalam forum tersebut, Ust Lokman selaku panelis pertama menekankan peri pentingnya asas kejayaan ibu bapa diletakkan kepada pandangan dan tasawwur Islam  itu sendiri. Konsep supermom superdad sebenarnya berasaskan kepada keperluan ibu  bapa menjadi qudwah yang terbaik, lantas wajar digelar ibu bapa mithali. Beliau  juga menegaskan peri pentingnya menjaga keluarga agar tidak terjerumus ke dalam  api neraka sebagaimana yang diberi amaran oleh Allah SWT di dalam surah  at-Tahrim.

Ustazah Hjh Samsiah berkongsi pengalaman beliau mendidik  anak-anak beliau seramai sembilan orang dan di dalam masa yang sama seorang  wanita yang berkerjaya. Beliau menekankan peri pentingnya memberikan masa yang  berkualiti terutama bagi ibu yang bekerja di mana masa bercuti dengan anak-anak  dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Celoteh beliau yang sarat dengan pengalaman  berjaya mencuit hati para peserta yang hadir. Beliau juga menceritakan bagaimana  perlunya kita berusaha membantu orang lain dengan keikhlasan hati berdasarkan  pengalaman beliau selama 30 tahun bekerja di sektor
kerajaan sehingga berjaya  dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Negeri yang pertama di kalangan wanita  bukan sahaja di Terengganu, malah juga di Malaysia.

Dr Hafidzah pula  menekankan betapa pentingnya bapa diletakkkan sebagai figur utama di dalam  mendidik anak-anak. Para isteri perlulah pandai meletakkan peranan bapa dan  jangan sekali-kali merendah-rendahkan   lelaki bergelar bapa di depan anak-anak  mereka. Di sinilah letaknya peranan seorang isteri yang menghormati maruah  suaminya khususnya bila berdepan dengan anak-anak. Para ibu bapa juga perlu  mempunyai ilmu dan kemahiran semasa di dalam menghadapi suasana pendidikan  anak-anak yang cukup mencabar dan berbeza dewasa ini. Beliau juga menampilkan  beberapa contoh teladan menerusi sirah ar-Rasul s.a.w. serta tokoh-tokoh ibu  yang wajar dijadikan contoh di kalangan
wanita hari ini.

Berdasarkan  maklum balas peserta, program ini mendapat sambutan yang sangat positif dan  ramai yang menyarankan agar program seumpama ini dilanjutkan sehingga sehari  penuh kerana banyak perkara yang ingin ditanya oleh para peserta terutama di  dalam aspek pendidikan anak-anak ini.

Menurut Pengarah Program Hjh Noor  Asyikeen bt Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu,  program ini berjaya mewujudkan satu jalinan kerjasama yang strategik dengan  organisasi wanita lain dan ini mampu menjadi pemangkin kepada 'constructive  engagement' yang diusahakan Wanita IKRAM. Beliau juga bersyukur di atas kejayaan  penganjuran program ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat di dalam  merancang dan melaksana program ini.

11/4/2012 07:29:59 am

Tahniah diucapkan kepada penganjur khususnya JK Wanita Negeri Terengganu atas program ini. Semoga terus menganjurkan program2 sebegini untuk memberi ilmu kekeluargaan kepada masyarakat yang semakin jauh dari bimbingan Al-quran dan Sunnah.

Reply



Leave a Reply.