Picture
Menjejaki pertengahan Syaaban membuatkan kita semakin merasakan bahang ketibaan Ramadhan yang dinantikan. Bulan yang penuh dengan barakah dan kemuliaan ini adalah saat di mana umat Islam seharusnya berlumba-lumba melipat gandakan amalan dan memperbaiki diri untuk memastikan kita tidak ketinggalan daripada meraih keampunan dan ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. 

Menyedari keutamaan bulan yang dirahmati ini, IKRAM Kemaman berusaha untuk menyantuni masyarakat dalam usaha dakwah dan tarbiah agar umat Islam di Kemaman khususnya dapat bersama-sama menghayati kehadiran Ramadhan menerusi program-program kemasyarakatan sempena menyambut Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Alhamdulillah pada pagi 5 Julai 2012 bersamaan 15 Syaaban 1433 ini, satu pertemuan telah diatur diantara IKRAM Kemaman dengan Pejabat Agama Daerah Kemaman. IKRAM Kemaman diwakili YDP IKRAM Daerah yang baru iaitu Ustaz Hj Mazlan bin Ahmad, menemui Ustaz Hj Zulkefli bin Othman selaku Pegawai Agama Daerah di pejabat beliau di Jalan, Kamunting, Kemaman.


Perjumpaan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan di antara IKRAM Daerah Kemaman dengan Pejabat Agama Daerah dan berbincang tentang satu projek sempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu Projek Semarak Ramadhan (PSR) Peringkat Daerah Kemaman.

Pihak Pejabat Agama Daerah Kemaman bersetuju untuk menganjurkan projek ini secara bersama dengan IKRAM Kemaman. Antara program yang bakal digerakkan di bawah projek ini ialah majlis berbuka puasa di masjid-masjid luar bandar dan bersama saudara baru, bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik, program remaja dan belia ra'ikan Ramadhan, kempen solat berjamaah setiap waktu di masjid, program iktikaf perdana di masjid-masjid, program membersihkan masjid dan kawasan perkuburan dan kempen berhenti merokok.

Pihak Pejabat Agama Daerah juga bersetuju dengan tarikh 19 Julai 2012  (Khamis mlm Jumaat) bersamaan 29 Syaaban 1433 ini sebagai tarikh pelancaran Projek Semarak Ramadhan Peringkat Daerah Kemaman. Ianya juga bakal disertai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di sekitar daerah ini. Cadangan masjid untuk majlis pelancaran ialah Masjid Pengkalan Kandang dekat Taman Chukai Utama, Kemaman. Ianya bakal dijayakan bersama dengan semua jawatankuasa masjid seluruh Kemaman dan Pertubuhan Masjid Daerah Kemaman. Satu persidangan akhbar akan dibuat selepas majlis pelancaran tersebut.

Peluang projek ini akan digunakan untuk kita mendekati masyarakat khususnya di luar bandar, felda dan saudara-saudara baru serta masyarakat orang asli. Doakan program ini berjalan lancar dan diberkati Allah.






Leave a Reply.