Picture
Barisan pemain yang mewakili IKRAM Kemaman
Alhamdulillah, pada hari Sabtu, 13 Julai yang lalu, Sukan Wanita Negeri Terengganu 2012 telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan lebih 80 peserta dari daerah Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu. Wanita Kemaman telah menghantar seramai 11 orang pemain yang mewakili daerah untuk acara badminton dan bola jaring.




Acara ini telah dihoskan oleh Wanita IKRAM Dungun, di SMK Seri Dungun dan dirasmikan oleh TYDP IKRAM Terengganu merangkap YDP IKRAM Dungun iaitu Tn Hj Mohd Nawawi b Yusof. Beliau dalam ucapan perasmiannya menekankan pentingnya Wanita IKRAM menepati salah satu muwassofat tarbiah iaitu qawiyul jismi, atau tubuh badan yang sihat. Ini kerana jasmani sihat dapat menyumbang kepada perkembangan dan kelancaran aktiviti dakwah dan tarbiah. Beliau juga mengharapkan Wanita IKRAM lebih agresif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti seumpanya kerana sukan bukan sahaja melatih jasmani malahan membentuk minda dan peribadi yang berdaya saing atau kompeten dan proaktif selain merapatkan ukhuwwah dan silaturrahim.

Acara kemudian diteruskan dengan aktiviti senamrobik sebagai 'pemanas' diketuai oleh jurulatih senamrobik bertauliah yang dijemput khas oleh penganjur. 

Dalam acara badminton, Kemaman yang diwakili oleh 4 pemain; 3 daripanya merupakan tenaga pengajar Sek Ren Islam Al-Amin Kerteh dan Kemaman iaitu Muallimah Noraini serta Hamizah dan seorang lagi adalah ukhti pelajar China yang sedang membuat praktikal di Kerteh iaitu Hazirah Uloom berjaya menjadi juara keseluruhan. Daerah Dungun menjadi naib juara, sementara K.Terengganu di tempat ketiga.

Bagi acara bola jaring pula, Kemaman terpaksa bermain dengan hanya 7 pemain utama, tanpa pemain simpanan disebabkan ketiadaan pemain disaat akhir. Walau bagaimanapun, pada pusingan pertama menentang Dungun, Kemaman berjaya mengalahkan Dungun dengan 7 jaringan berbalas 6. Meskipun ramai pemain Kemaman mengalami kecederaan mereka tetap meneruskan perlawanan tanpa pemain gantian di pusingan penentuan menentang Kuala Terengganu. Kuala Terengganu yang memiliki kelebihan tenaga dan pemain yang cukup telah berjaya menewaskan pasukan Kemaman dengan kelebihan 2 jaringan. Pasukan Kemaman yang menjadi Naib Juara telah diwakili oleh ukht Noriah Yusof, Sridayu Samsuri, Aminah Salleh, Amalina, Shahidayu, Liyana dan Ila.

Acara sukaneka seterusnya dijalankan melibatkan penyertaan semua peringkat umur dengan aktivti yang sangat kreatif dan mencabar. Dalam acara ini Kemaman telah berjaya menjadi Naib Juara keseluruhan. Juara disandang oleh Dungun sementara Kuala Terengganu di tempat ketiga

Sukan Wanita IKRAM Terengganu 2012 diakhiri dengan majlis penyampai hadiah serta acara penutup daripada ukht Nor Hanum. Syabas kepada tuan rumah, Wanita Dungun dan kepada semua kontinjen yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam suasan yang penuh ukhuwwah. Semoga Allah memberkati usaha kita untuk mendaulatkan Islam yang syumul di tanah air ini.

Keputusan keseluruhan:
Badminton
Juara : Kemaman
N.Juara : Dungun
Ketiga : K.Terengganu

Bola Jaring
Juara : K.Terengganu
N.Juara : Kemaman
Ketiga : Dungun

Sukaneka
Juara : Dungun
N.Juara : Kemaman
Ketiga : K.Terengganu

Laporan disediakan oleh JK Media Kemaman




Leave a Reply.