Picture
Sebahagian peserta Ramadan & Me
Bersempena menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Wanita IKRAM Kemaman telah menganjurkan suatu program persediaan Ramadan berbentuk kekeluargaan pada Sabtu, 14 Julai 2012 yang lalu bertempat di Sek Ren Islam Al-Amin Kerteh.

Program Bicara di Ambang Ramadan untuk ibubapa yang telah berjaya mengundang sekitar 50 peserta diisi oleh penyampaian taujihat daripada YDP IKRAM Terengganu, Ust Hj Lokman b Awang. Slot ini bertujuan memberikan gambaran awal tentang suasana yang seharusnya dipupuk di dalam keluarga khususnya menjelang Ramadan serta mengajak pendengar untuk mempersiapkan minda, jasmani dan rohani untuk menghadapi bulan madrasah tarbiah yang penuh keberkatan ini. Ustaz Hj Lokman Awang dalam penyampaiannya turut mengingatkan para ibubapa agar bersama-sama mengajak keluarga untuk meningkatkan amalan dan ibadah untuk meraih pahala yang berlipat kali ganda sepanjang Ramadan ini. Beliau juga berharap ibubapa dapat berusaha untuk mengubah perspektif Ramadan yang negatif di dalam keluarga agar kehadiran Ramadan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membentuk jatidiri anak-anak menjadi insan yang soleh dan musleh.

Dijalankan secara selari, program Ramadan & Me anak-anak pula telah disertai oleh kira-kira 80 orang kanak-kanak berusia lingkungan 6-12 tahun. 

Di dalam program Ramadan & Me, anak-anak telah diberikan gambaran sebenar tentang kehadiran Ramadan yang seharusnya disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran menerusi Slot, Yeay, Ramadan Datang Lagi yang dikendalikan oleh Kak Murni dan Kak Amalina. Anak-anak telah dipertontonkan dengan beberapa video yang menarik tentang adab dan amalan di bulan Ramadan untuk mendidik anak-anak ini agar dapat membiasakan diri dengan amalan-amalan yang soleh. Di dalam slot kedua pula, anak-anak diberikan peluang untuk mereka sendiri kad ucapan Ramadan kepada ahli keluarga mereka sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran mereka terhadap kedatangan Ramadan.

Ramadan & Me diceriakan lagi dengan aktviti Explorace Ramadan yang dikendalikan oleh kak Hazirah. Di dalam aktiviti ini, peserta dikehendaki menyelesaikan beberapa tugasan dan menjawab soalan-soalan  yang berkaitan dengan Ramadan sebagai satu cara untuk memastikan mereka memahami segala pengajaran yang telah diberikan semasa slot pertama. Alhamdulillah, anak-anak kelihatan begitu ceria dan gembira menyelesaikan tugasan yang diberikan walaupun terpaksa bergerak di dalam cuaca yang terik.

Rata-rata ibubapa yang ditemui menyatakan kegembiran dan kesyukuran terhadap inisiatif IKRAM mengadakan program sebegini kerana ianya bermanfaat untuk seisi keluarga. Semoga Allah memberkati dan menyampaikan kita di dalam bulan Ramadan seterusnya memberikan kita kekuatan dan kemudahan dalam urusan dunia dan ukhrawi kita, inshaAllah.



Leave a Reply.