Picture
Setiap wanita perlu memainkan peranan masing-masing di dalam institusi keluarga dan masyarakat bagi melahirkan generasi yang sihat jasmani, emosi, rohani dan intelek. Penekanan ini disuarakan oleh Ketua Wanita IKRAM Terengganu, Pn Hjh Ustazah Khadijah binti Dibok semasa mengulas berkenaan peranan keluarga dan masyarakat dalam melahirkan peribadi yang cemerlang amalan di dalam forum sempena Karnival Kesihatan IKRAM di Felda Kerteh 5 pada 23 Jun 2012 yang lalu.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap rapuhnya institusi kekeluargaan pada hari ini yang menyumbang kepada permasalahan sosial yang semakin meruncing seperti pengambilan dadah, penzinaan, rempit, kes curi dan sebagainya. Katanya ini berlaku kerana generasi kini tidak mempunyai role model atau contoh yang baik khususnya di dalam institusi keluarga yang seharusnya menjadi madrasah tarbiah pertama. Ibu bapa khususnya perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, mendidik diri untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah seterusnya menjadi contoh yang terbaik untuk anak-anak. Pendidikan rabbani ini perlu diterapkan di dalam diri anak-anak sedar kecil, agar mereka memiliki imunisasi yang kuat untuk berdepan dan bergaul dengan masyarakat.

Ini selaras dengan firman Allah di dalam surah At-Tahrim yang bermaksud, “Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari azab neraka” memperlihatkan betapa pentingnya peranan setiap individu untuk sama-sama membimbing ahli keluarga mereka.

Forum yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu, Pn Hjh Noor Ashikeen Ab. Hamid itu turut menampilkan Yang Dipertua IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan bin Ahmad sebagai panelis.

Dalam mengulas berhubung peranan masyarakat dalam melahirkan peribadi yang cemerlang amalan Ustaz Hj Mazlan bin Ahmad menyatakan setiap anggota masyarakat perlu  sama-sama mengembalikan budaya saling nasihat menasihati bukan sahaja di dalam ruang lingkup keluarga tetapi juga di dalam kelompok kejiranan. Kita sebagai jiran harus mengambil berat tentang kebajikan dan perkembangan jiran yang lain terutamanya sesama muslim, bertepatan dengan konsep persaudaran yang dianjurkan oleh Islam iaitu setiap mukmin itu adalah bersaudara. Kita juga harus terbuka dan bersikap positif terhadap teguran yang diberikan oleh anggota kejiranan agar suasana hidup bermasyarakat dapat diperteguhkan.

Para guru di sekolah pula seharusnya bukan hanya setakat menjadi ‘pengajar’ tetapi harus juga mendidik pelajar menanamkan sifat taqwa dan berakhlak mulia. Sifat taqwa atau takut kepada Allah dapat membendung manusia daripada melakukan dosa dan maksiat serta menjadikan setiap amalan yang dilakukan itu lebih sempurna.

Ulasan yang begitu menarik dan jelas oleh para panelis serta kebijaksanaan moderator mengendalikan perbincangan ini telah menarik perhatian sekitar 100 orang pengunjung karnival. Rata-rata mereka memberikan maklumbalas yang amat memberangsangkan dan berharap IKRAM dapat meneruskan program-program sebegini yang mampu menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

Karnival Kesihatan IKRAM di Felda Kerteh 5 ini adalah program khidmat masyarakat kali kedua anjuran bersama Pertubuhan IKRAM daerah Kemaman dan Dungun, kali ini dengan kerjasama pengurusan Felda, Gabungan Penggerak Wanita dan Masjid Felda Kerteh 5. Karnival Kesihatan ini adalah sebahagian aktiviti di bawah Jawatakuasa Ummah dan Masyarakat Madani yang diketuai oleh Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi bertujuan untuk menyalurkan khidmat seterusnya menyampaikan dakwah kepada masyarakat pelbagai lapisan.

Program ini dimulakan dengan senamrobik yang diketuai oleh bekas atlet kebangsaan, Zaki Sadri dan isterinya Pn Atiqah. Program seterusnya dirasmikan oleh TYDP IKRAM Terengganu, Tn Hj Nawawi Yusof.

Pemeriksaan dan rundingan kesihatan secara percuma telah diadakan oleh unit perubatan IKRAM di bawah IKRAM Health yang diketuai oleh Dr Nurul Jannah bersama Dr Nik Solehah dan pakar pemakanan, Dr Nadhirah. IKRAM juga menerima kehadiran Klinik Kesihatan Ketengah Jaya yang menyalurkan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung. Di samping itu, gerai-gerai penerangan IKRAM dan Aqsa Syarif turut dibuka untuk memberikan informasi tentang aktivisma dan dakwah IKRAM kepada pengunjung. Turut menyediakan gerai penerangan adalah dari Fight Cancer Group (FCG) Kemaman dan Malaysian Breasfeeding Peer Councelor (MBPC).

Lokaliti yang berminat untuk mengundang IKRAM untuk mengadakan Karnival Kesihatan di tempat masing-masing boleh berhubung terus dengan Ketua JK Ummah dan Masyarakat Madani IKRAM Kemaman, Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi di talian 019-3591268.

Laporan disediakan oleh JK Media Wanita IKRAM Kemaman





Leave a Reply.